sektor pelancongan beri banyak kelebihan
Oleh
Faizatul Farlin Farush Khan
PELANCONGAN mempunyai skop yang luas dan menyediakan banyak peluang
pekerjaan kepada graduan dan mereka yang ingin menukar kerja ke bidang
kerja berbeza.
Bak
kata pepatah, `jauh berjalan, luas pemandangan’, kerjaya dalam sektor
pelancongan berpeluang menimba pengalaman dan pengetahuan sepanjang
melalui kunjungan ke tempat baru, melancong bersama pelanggan dan
mengenali pelbagai lapisan masyarakat dan budaya.
Pengarah Urusan Narsqo Holidays Sdn Bhd (Narsqo Holidays), Noorazli
Said, berkata graduan yang ingin menceburi bidang ini perlu bersikap
agresif, sukakan cabaran, komited, peramah dan bijak berkomunikasi.
Beliau berkata, graduan yang ingin menjadi ejen pelancongan perlu
mempunyai minat mendalam selain kemahiran berkomunikasi dengan pelanggan.
“Pekerja membawa nama baik syarikat. Jika mereka dapat menjaga hati
pelanggan dan menunaikan tanggungjawab dengan baik terhadap keperluan
pelanggan, itulah kriteria pekerja yang dicari.
“Kita berada dalam bidang perkhidmatan. Oleh itu, mereka yang terbabit
dalam bidang ini mesti mempunyai minat jangka panjang, mempunyai banyak
idea yang boleh disumbangkan dalam memperbaiki perkhidmatan,” katanya
ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Noorazli berkata, graduan yang mengambil kursus dalam bidang pelancongan
juga sepatutnya tidak ‘goyang kaki’ ketika di kampus.
“Mereka sepatutnya berjinak dalam bidang ini sejak awal dengan
menganjurkan aktiviti menjuruskan kepada pelancongan seperti lawatan
atau aktiviti sukan dan rekreasi seperti berkayak dan panjat gunung.
“Aktiviti ini bukan sekadar suka-suka, ia dapat menunjukkan graduan itu
mempunyai minat mendalam untuk menceburi bidang ini,” katanya.
Menurutnya, penganjuran kegiatan itu juga dapat dijadikan sebagai bukti
minat, pengalaman dan kebolehan pada bakal majikannya, walau pun hanya
membabitkan penganjuran acara kecil.
“Ini pasti memberikan kelebihan kepada graduan yang menghadiri sesi
temuduga,” katanya.
Noorazli berkata, bidang pelancongan amat luas dan ia terbuka kepada
semua tanpa mengira kelulusan.
Katanya, apa yang penting minat dan pengetahuan dalam bidang pelancongan
serta sikap tidak terlalu memilih kerja.
“Dalam sesi temuduga, kami sering meminta calon menamakan tempat
pelancongan di negara ini dan ceritakan mengenai kemudahan pelancongan
yang terdapat di situ.
“Mungkin calon tidak pernah ke situ, tetapi dia sepatutnya dapat
menceritakan dengan baik kepada kami mengenai sesuatu tempat pelancongan
berdasarkan pembacaan buku, majalah atau internet.
“Ini menunjukkan minatnya dalam pelancongan. Pelajar perlu banyak
membuat kajian sendiri mengenai tempat pelancongan terutama dalam negara,”
katanya.
Katanya, asas pengetahuan dalam bidang pelancongan adalah penting kerana
pekerja tidak boleh teragak-agak sekiranya pelanggan memerlukan maklumat
mengenai sesuatu yang dingin diketahui.
“Bidang ini memang besar potensi kerana kegiatan pelancongan berterusan,
semua orang hendak melancong.
“Apa yang perlu kita berikan ialah satu tawaran harga menarik dan
perkhidmatan yang baik,” katanya.
Noorazli menubuhkan Narsqo Holidays sejak hampir setahun lalu selepas
melihat potensi bidang itu yang besar. Ia sebahagian daripada Kumpulan
Narsqo yang beroperasi sejak hampir tiga tahun lalu.
Syarikat ini beribu pejabat di 37-2, Jalan 3/76D, Desa Pandan, syarikat
ejen pelancongan itu kini sudah mempunyai cawangan di Bandung,
Indonesia.
“Saya melihat syarikat ini bukan sekadar untuk kepentingan sendiri
tetapi juga satu ibadat yang memberi peluang meluas pekerjaan kepada
graduan.
“Kami tidak pernah mengehadkan pengambilan pekerja, malah menggalakkan
mereka yang berminat menghantar kurikulum vitae dan yang layak akan
dipanggil temuduga,” katanya.
Eksekutif Pembangunan Perniagaan Narsqo Holidays Sdn Bhd, Abdul Halim
Navaghani, berkata walaupun memiliki kelulusan bidang teknologi maklumat
(IT), beliau memilih kerjaya pelancongan demi kepuasan diri.
“Kerja dalam bidang ini sangat menarik dan kurang tekanan. Sebelum ini
saya berkhidmat dalam bidang IT, saya berhenti dan menganggur beberapa
bulan.
“Sekarang saya sungguh puas hati bekerja di sini dan tidak mungkin
meninggalkan bidang ini lagi,” katanya.
Kriteria ejen pelancongan
- Graduan perlu bersikap agresif, peramah, suka bergaul
dengan orang ramai, mempunyai skil komunikasi
yang baik,
bertanggungjawab dan komited.
- Graduan perlu sukakan cabaran dan bersedia membuat kajian
dan memberikan idea baru serta mudah
berkerja dalam
kumpulan.
- Mereka yang berkelulusan dalam bidang lain juga layak
untuk menceburkan diri sebagai ejen
pelancongan, yang
penting adalah minat yang mendalam.
- Graduan perlu mempunyai pengetahuan mengenai tempat
pelancongan menarik dengan membuat
kajian, membaca
dan
melayari laman web.
- Jangan terlalu memilih kerjaya sehingga menganggur.
Mencari tapak dan pengalaman adalah penting.
- Untuk berjaya dalam bidang pelancongan, seseorang itu
perlu sering bertukar pendapat dengan rakan
sekerja dan
berbincang untuk menyumbang idea bernas.