Mengendalikan
sesuatu majlis merupakan satu tugasan yang agak sukar bagi sesetengah
orang, tetapi nampak mudah apabila dilakukan oleh orang lain. Mengapa
begitu?
Adakah mengendalikan majlis memerlukan kemahiran yang tinggi? Adakah
perlu menghadiri kursus untuk mengendalikan majlis?
Sebenarnya, mengendalikan sesuatu majlis bukanlah satu tugasan yang
sangat sukar. Namun, tugas ini memerlukan perancangan awal yang teliti.
Setiap majlis yang sempurna dan berjalan dengan baik memerlukan
perancangan pada tahap awal, pada tahap pertengahan dan pada tahap akhir.
Perancangan yang sebegini memberi peluang kepada anda untuk mengenal
pasti semua kelemahan yang ada dan mencari jalan penyelesaian yang
terbaik. Yang penting, anda harus tahu matlamat majlis dan cara untuk
anda mengendalikannya. Tentukan tema majlis dan yang paling penting,
bajet bagi sesuatu majlis itu.
Mengendalikan sesuatu majlis atau acara tidak hanya tertumpu kepada
majlis makan malam, majlis perkahwinan dan sebagainya tetapi merangkumi
pelbagai acara lain yang berkaitan.
Buku ini akan membincangkan cara-cara mudah untuk mengendalikan majlis
rasmi, majlis tidak rasmi, majlis anjuran syarikat seperti majlis makan
malam dan juga team building, hari keluarga dan acara yang paling
digemari, iaitu mencari harta karun atau lebih senang dikenali sebagai
treasure hunt.
Lazimnya, acara-acara ini dianjurkan oleh syarikat-syarikat dengan
tujuan untuk meraikan kakitangan, menyambut ulang tahun syarikat atau
mengumpul dana. Cara itu juga boleh dianjurkan sebagai satu kolaborasi
antara dua atau lebih syarikat yang ingin bekerjasama atau meraikan
sesuatu kejayaan.
Walau apa jua majlis yang ingin dianjurkan, perancangan awal adalah
sangat perlu. Penulis berharap agar panduan dan cadangan yang disajikan
dalam buku ini dapat membantu pengendali majlis atau aktiviti dalam
melaksanakan majlis atau aktiviti yang dirancang berjalan dengan baik
dan berkesan.
|