Mencari Kepuasan Dalam Pekerjaan Yang Sesuai -

Bahagian 2

Oleh: Dr. K Ghazalli

Klinik Kerjaya Perintis


Kerjaya yang betul, pekerjaan yang salah

Pernahkah anda merasakan bahawa pekerjaan anda sekarang ini tidak sesuai dengan anda? Kesangsian mungkin akan timbul apabila tahap keyakinan diri anda rendah atau apabila anda dapati bahawa anda tidak mendapat kepuasan daripada pekerjaan anda.

Contoh:

Azimah ialah seorang pereka grafik yang berbakat. Majikan Azimah amat berpuas hati dengan hasil kerja Azimah. Atas kegigihan dan hasil kerja yang begitu baik, Azimah telah dinaikkan pangkat menjadi pengurus jabatan grafik. Beliau menerima pelantikan jawatan itu dengan senang hati dan tanpa berfikir panjang. Dengan kenaikan pangkat itu, Azimah didedahkan kepada banyak tugasan baru yang lebih mencabar. Namun, dengan setiap tugasan baru ini, Azimah dapati bahawa beliau tidak mendapat kepuasan daripada tugasan tersebut.

“Apa yang sudah berlaku? Di mana silapnya ni…?” bisik hati kecil Azimah. Azimah berasa kecewa dan hilang motivasi ketika berada di tempat kerja. Di rumah pula, beliau sentiasa berasa hilang mood. Azimah mula terfikir sama ada beliau sudah tersilap langkah dalam memilih kerjayanya.

Azimah berasa tertekan untuk beberapa hari yang berikutnya. Akhirnya Azimah pun mencurahkan masalah beliau kepada kawannya. Hasil perbincangan antara dua kawan ini telah dapat merumuskan punca kekecewaan Azimah di tempat kerja. Dengan kenaikan pangkat Azimah, tanggungjawab pentadbiran yang memakan masa terpaksa Azimah laksanakan. Dengan menjalankan tugasan ini, Azimah mempunyai masa yang sangat terhad untuk mereka cipta grafik iaitu tugas yang amat digemarinya.

Azimah telah berjumpa dengan majikannya bagi membincangkan masalah yang dihadapinya itu. Majikan Azimah juga sudah maklum akan masalah ini kerana mutu kerja Azimah telah merosot. Untuk menyelesaikan masalah itu, majikan Azimah telah mencadangkan agar Azimah dilantik sebagai Pengarah Kreatif pula di mana banyak masa Azimah akan dihabiskan untuk mereka cipta.

Azimah kembali bersemangat untuk bekerja dan mutu kerjanya kembali meningkat.

Masalah Azimah timbul bukan sebab beliau salah kerjaya, tetapi salah pekerjaan.

Kenaikan pangkat kadang-kadang melibatkan tambahan tanggungjawab pentadbiran yang harus dilaksanakan. Jika anda suka dengan pekerjaan yang anda lakukan sekarang, anda hendaklah menilai kebaikan kenaikan pangkat itu dahulu agar kepuasan yang anda peroleh dari pekerjaan anda tidak terjejas.
Menilai situasi anda

Berikut merupakan satu ujian kemahiran yang direka khas bagi menilai kesesuaian anda untuk setiap satu pekerjaan. Ujian kemahiran ini juga akan menunjukkan aspek yang anda paling hargai dalam sesuatu pekerjaan itu. Jawapan yang anda peroleh akan memberikan gambaran kasar sama ada anda telah bertemu dengan jenis pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kecenderungan anda.

Ujian Kemahiran 1

Bayangkan sejenis ubat baru bagi menyembuhkan selsema telah berjaya dicipta. Semua tugasan yang disenaraikan di bawah adalah berhubung kait dengan pembuatan ubat tersebut. Baca dan kaji senarai ini. Kemudian, bahagikan sehelai kertas kepada dua kolum. Satu kolum dilabel “Sesuai” dan satu kolum lagi dilabel “Tidak sesuai”.

Di dalam kolum “Sesuai”, senaraikan tiga aktiviti yang anda paling suka atau yang tepat dengan kebolehan peribadi anda. Di dalam kolum “Tidak sesuai” pula, senaraikan tiga aktiviti yang anda paling tidak suka atau jauh dari kebolehan peribadi anda. Jawapan anda akan memberikan petunjuk tentang aptitud anda.

1.   Mereka cipta grafik untuk pembungkus dan poster ubat selsema tersebut.


2.   Memperkenalkan ubat selsema tersebut kepada orang awam melalu pembentangan

      dan temu bual.


3.   Menulis senaskhah buku tentang kejayaan syarikat pengeluar ubat selsema

      tersebut.


4.   Menjadi ketua kepada saintis yang mencipta ubat selsema tersebut.


5.   Mencari jalan untuk menggandakan keuntungan syarikat pengeluar ubat selsema

      tersebut.


6.   Dari pekerja bawahan, anda berusaha untuk menjadi tuan punya syarikat pengeluar

      ubat selsema tersebut.


7.   Mereka cipta mesin yang menghasilkan ubat selsema tersebut.


8.   Membina dan menjalankan mesin yang mampu menghasilkan ubat selsema tersebut

      secara pukal.


9.   Memperbaik proses pengeluaran ubat selsema tersebut.


10. Mempromosikan ubat selsema tersebut dengan cara unik.


11. Menjual ubat selsema tersebut dari rumah ke rumah.


12. Mempromosi ubat selsema tersebut di kawasan terpencil.


13. Mencipta ubat selsema yang lebih selamat untuk kegunaan orang tua dan kanak-

      kanak.


14. Pergi ke sekolah-sekolah untuk mendidik murid-murid tentang ubat selsema

     tersebut.


15. Memberikan dos ubat selsema ini kepada pesakit di hospital dan klinik.


16. Menganalisa kos produksi secara komersial ubat selsema tersebut.


17. Mengawasi kilang di mana ubat selsema tersebut dihasilkan.


18. Membuka kedai di pusat bandar untuk menjual ubat selsema tersebut.

Pilihan anda di dalam kolum “Sesuai” akan mencerminkan kemahiran dan kecenderungan anda. Kolum “Tidak sesuai” akan menunjukkan aktiviti yang perlu anda elakkan.

Jawapan

 

  Ke atas