
Ketua
Keluarga Sebagai Penasihat
Sebagai ketua keluarga, anda juga akan menjadi
penasihat kepada ahli keluarga anda.
Seperti yang
dikatakan tadi, sebelum menasihati, pastikan
anda melakukannya terlebih
dahulu. Anda
juga perlu bijak menanggung risiko atau
manfaat hasil daripada nasihat
yang anda
berikan kerana ahli keluarga anda. Jadi,
apa-apa kesan yang akan
berlaku kepada
mereka akan turut anda rasakan.
Untuk menasihati, anda mestilah tahu waktu yang sesuai untuk menasihati. Waktu itu termasuklah:
- Masa berehat bersama dengan
anak-anak.
- Masa bersukan dan bersiar-siar
dengan mereka.
- Dalam kereta ketika dalam
perjalanan ke mana-mana.
- Sebelum anak masuk tidur
(hampir-hampir lena).
- Selepas mandi.
- Selepas solat atau membaca al-
Quran.
Kaedah berikut pula boleh dijadikan panduan untuk menasihati:
Pesanan
– Sebagai contohnya, anda ingin meninggalkan anak anda pada ibu anda di
rumah kerana terpaksa berkursus yang tidak dapat membawa anak-anak dan
mengambil masa yang agak lama. Anda bimbang jika anak-anak anda akan
menyusahkan ibu anda. Justeru, sebagai bapa, cuba kumpulkan anak anda
dan berpesan kepada mereka. Pernah satu keluarga, ketika mereka hendak
meninggalkan anak mereka dengan ibu bapa, mereka menyuruh anak yang
paling besar mengambil kertas dan menulis pesanan mereka. Saya sertakan
contoh di sini supaya anda dapat
mengaplikasikan dalam kehidupan anda
sendiri mengikut pesanan yang sesuai:
1. Bangun pagi, kemaskan tilam tempat tidur.
2. Tidak dibenarkan main anak ayam.
3. Semua orang mesti solat setiap waktu solat…berjemaah dengan Tok.
4. Jangan bergaduh dan menjerit-jerit.
5. Semua orang mesti dengar cakap Tok.
6. Abah benarkan Tok rotan sesiapa yang melanggar cakap Tok.
7. Lepas solat Subuh dan Maghrib mesti mengaji.
Beginilah pesanan yang ditinggalkan untuk anak-anak ketika bapa ini mahu
meninggalkan mereka. Tandatangan bapa disertakan bersama sebagai tanda
pesanan ini memang daripada bapa. Sepanjang anak mereka ditinggalkan,
jika berlaku sesiapa yang melanggar peraturan, maka mereka akan saling
ingat mengingatkan. Nenek mereka yang mengetahui pesanan ayah mereka
juga sering mengingatkan pesanan ayah mereka.
Pesanan itu ditampal pada dinding rumah nenek mereka untuk dijadikan
panduan ketika diperlukan. Memang kanak-kanak mempunyai sifat yang
pelupa dan perlu diingatkan berkali-kali. Jadi, pesanan yang tertulis
begini mungkin kaedah yang sesuai untuk dipraktikkan. Pesanan secara
lisan juga mesti dilakukan berulang kali sehingga mereka menjadikan
pesanan itu sebagai kebiasaan.
Adakala perkara yang telah diamalkan oleh mereka juga mungkin akan
diabaikan. Sebagai contohnya, anda telah mengajar anak anda untuk
meletakkan botol susunya ke dalam singki. Namun, suatu hari dia tidak
ingat. Yang perlu dilakukan adalah dengan berpesan semula. Jangan putus
asa untuk melakukan hal ini kerana tekak anda tidak akan sesekali pecah
dengan berpesan dua tiga patah perkataan.
Arahan
– Nasihat dalam bentuk arahan mungkin berbunyi lebih tegas dan
kebiasaannya perkara itu akan dilakukan segera oleh anak-anak. Dalam
keadaan yang sesuai, anda bolehlah menggunakan kaedah ini. Tetapi
kurangkan nasihat dalam bentuk ini kerana ada masanya anak tidak dapat
menerima apabila diarah-arah dengan kerap. Gunakan kaedah lain untuk
menasihati.
Bercerita –
Seorang ayah perlulah mengambil kesempatan untuk bercerita dengan
anak-anaknya sekalipun pada ke-biasaannya ibu yang mengambil tugas ini.
Sekalipun pendek, anda mungkin akan membantu anak-anak itu memahami
sesuatu melalui kaedah ini. Jika kebuntuan idea, mungkin anda perlu
membanyakkan bahan bacaan terutamanya kisah-kisah para nabi atau
pahlawan terkenal zaman dahulu. Kurangkan menceritakan cerita dongeng
kerana kisah dongeng hanya akan menyebabkan konflik dalam diri lantaran
banyak perkara yang tidak logik dalam kisah dongeng itu sendiri.
Soal jawab
– Soal jawab ialah kaedah dua hala dalam me-nasihati anak-anak. Sama ada
soalan itu kita ajukan atau soalan itu diajukan oleh anak-anak. Secara
umum, kanak-kanaklah yang banyak bertanya kepada kita. Perkara ini
menunjukkan anak-anak anda sedang membina sesuatu dalam minda mereka.
Jadi, yang perlu anda lakukan adalah dengan menjawab soalan mereka
dengan baik dan bersabar. Kepenatan kadangkala menjadikan anda bosan
melayan soalan-soalan yang sama. Namun, yang perlu anda ingat adalah
jika anda mahu anak anda menjadi seorang anak yang berilmu, maka
jawablah soalan mereka. Tidak mudah untuk membina anak yang berilmu
begini kerana perkara ini perlu bermula dari mula berkembangnya minda
mereka.
Selain disoal, menasihati juga boleh dilakukan dengan menyoal. Bagi
menyampaikan mereka kepada sesuatu nasihat, anda bolehlah menyoal mereka
dengan soalan yang membawa kepada motif anda. Sebagai contoh, anak anda
mengeluarkan basikal yang anda simpan di dalam stor semasa sepupu mereka
bercuti di rumah anda.
Tiba-tiba ada yang berebutkan basikal itu sehingga ada yang menangis.
Anda boleh datang dan bertanya kepada anak anda yang mengeluarkan
basikal itu, “Sekarang abang tahu tak, kenapa basikal ni abah simpan
dalam stor?” Jika anak tidak memahami maksud anda, nyatakanlah, “Abah
tak mau adik-adik berebut basikal ni dengan orang lain. Kan tak baik
kalau ada yang menangis?”
Merujuk kisah lama
– Kisah lama ini terdiri daripada kisah yang pahit atau manis. Sekiranya
kisah itu kisah yang pahit, maka jadikanlah satu sempadan tetapi kisah
yang membawa kepada memori yang manis pula dijadikan contoh. Sebagai
contoh, jika anak-anak bergaduh di dalam kereta, maka anda bolehlah
bercerita bahawa kereta itu pernah terlibat dalam kemalangan.
Memandu memerlukan konsentrasi tetapi sekiranya anak-anak asyik bergaduh,
keadaan yang tidak diingini mungkin akan berlaku. Sekiranya anda masih
menyimpan gambar kemalangan itu, bolehlah anda tunjukkan kepada mereka
supaya mereka berhenti bergaduh kerana takut terjadinya kemalangan.
Kisah manis yang boleh dicontohi pula ialah kisah kejayaan ahli keluarga
yang lain. Sekiranya ada anak buah anda yang telah masuk ke universiti,
minta dia menceritakan kepada anak-anak perasaan berada di universiti.
Anda boleh menyoal anak buah anda itu tentang kaedah yang digunakannya
untuk belajar supaya anak-anak anda yang mendengar boleh mengambil
iktibar daripada cerita tersebut.
Latihan
– Anak-anak memerlukan aktiviti yang berulang-ulang dan berterusan
sebelum dia dapat menguasai sesuatu. Jadi, latihan adalah penting dalam
mendidik anak. Bimbing dia dalam apa-apa yang tidak diketahuinya dan
betulkan kesalahan yang dilakukannya. Perkara ini akan menyebabkan dia
mahir dalam sesuatu hal.
Bermain
– Antara masa menasihati yang paling sesuai adalah ketika bermain.
Seperti yang kita ketahui, masa bermain ialah masa yang menggembirakan.
Jadi, ketika bermain, kita bolehlah menasihati perkara yang ringan.
Sebagai contoh, anda melarang anak anda untuk bermain dengan budak nakal.
Apabila melihat dia begitu gembira bermain dengan anda, nyatakan
kepadanya, “Kalau Angah main kat rumah dengan ibu, abah dan adik-adik
kan lebih best. Takde abah nak marah-marah Angah.” Mereka akan memahami
betapa anda prihatin terhadap mereka dan sering mahu berada bersama
dengan mereka. Sekiranya perlu, ajak kawan-kawan anak anda untuk bermain
bersama.
Bergurau
– Nasihat yang mengandungi unsur humor juga mudah untuk diterima oleh
anak-anak. Sekiranya mungkin, kaedah ini ialah kaedah yang sangat sesuai
untuk digunakan dalam kebanyakan masa apatah lagi bergurau
menggembirakan hati mereka.
Teguran –
Sekiranya anak telah melakukan kesalahan, menjadi tanggungjawab anda
untuk menegur anak itu supaya dia tidak tersasar lagi. Seterusnya, beri
dia peluang untuk berubah supaya teguran yang anda berikan boleh
diterima olehnya dengan lebih terbuka. Ada masanya jika kita melakukan
kesalahan dan ditegur oleh anak, maka ucapkanlah terima kasih atas
tegurannya supaya dia lebih menghargai teguran kita pada masa akan
datang.