Apakah Yang
Harus Anda Fahami Tentang Temu Duga?
Oleh:
Amin Hazyq
Klinik
Kerjaya Perintis
APAKAH
MATLAMATNYA?
Temu duga diadakan untuk memberikan peluang kepada majikan untuk lebih
mengenali diri anda, mengenali personaliti anda dan menentukan sama ada anda
sesuai atau tidak untuk jawatan tersebut. Kebanyakan pemburu kerja sering
berasa sukar untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan yang ada
dan kurang arif tentang teknik-teknik yang betul dalam memohon pekerjaan dan
menghadiri temu duga.
Menurut Pengurus Unit Program Bumiputera, Multimedia Development
Corporations (MDC), Mohd Shahidan Shaari, lebih 85 peratus dilaporkan
memohon kerja lebih daripada 10 kali, namun masih gagal. Selain perlu
menguasai kemahiran berbahasa Inggeris, pemohon juga perlu sedikit sebanyak
mengetahui kemahiran temu duga.
Jika ditanya kepada pemohon-pemohon kerja ini, bahagian temu duga yang
paling digeruni, kebanyakan mereka akan mengatakan kebimbangan mereka ketika
menjawab soalan-soalan penemu duga. Kebimbangan mereka bertambah apabila
mengetahui bahawa syarikat yang memanggil temu duga berkemungkinan besar
akan berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Inggeris. Banyak kes yang
berlaku, pemohon terus gugup apabila penemu duga bertanyakan soalan dalam
bahasa Inggeris. Hal ini menjejaskan peluang mereka untuk mendapatkan
pekerjaan walaupun mereka layak dari aspek kelayakan akademik.
APAKAH YANG HARUS ANDA LAKUKAN?
Pertama, anda harus membuat sedikit persediaan dengan menjangka soalan yang
akan ditanya oleh penemu duga.
Kedua, anda digalakkan berlatih dengan melakonkan sesi temu duga yang bakal
ditempuhi. Jika boleh, minta keluarga atau rakan anda membantu. Hal ini
sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegugupan anda ketika ditemu duga. Ingat!
Penemu duga dapat mengesan jika anda tidak membuat persediaan.
Ketiga, anda berlatih dengan melakonkan sesi temu duga dalam bahasa Inggeris
pula. Dengar perkataan-perkataan bahasa Inggeris yang anda pertuturkan.
Minta keluarga atau rakan membetulkan sebutan anda jika salah. Keyakinan
anda akan bertambah jika anda banyak berlatih, InsyaAllah. Jangan takut
untuk menjawab dalam bahasa Inggeris walaupun anda kurang fasih dalam bahasa
ini. Jangan terlalu bimbang akan kesalahan tatabahasa. Sesetengah penemu
duga hanya ingin menguji sama ada anda berani menjawab dalam bahasa Inggeris
atau tidak sahaja.
PERKARA YANG PENEMU DUGA INGIN
TAHU TENTANG ANDA
Antara perkara yang ingin dicungkil oleh penemu duga daripada anda adalah
seperti berikut:
1. Mampukah anda berkomunikasi dengan baik?
2. Adakah anda seorang yang berfikiran terbuka atau senang melatah?
3. Mampukah anda menangani tekanan?
4. Bolehkah anda memikul tanggungjawab yang diberikan?
5. Adakah pengalaman atau kelayakan akademik anda relevan dengan jawatan
yang ditawarkan?
6. Bolehkah anda menyesuaikan diri dengan situasi bekerja di syarikat mereka?
SOALAN YANG LAZIM DITANYA DALAM
TEMU DUGA
Antara soalan yang lazim ditanya dalam temu duga ialah:
1. Ceritakan serba sedikit tentang diri anda.
2. Kenapa anda memohon jawatan ini?
3. Apakah yang anda tahu tentang syarikat ini?
4. Kenapa anda mahu bekerja dengan syarikat ini?
5. Apakah ciri-ciri yang diperlukan untuk mengisi jawatan ini?
6. Apakah yang boleh anda sumbangkan?
7. Apakah kekuatan dan kelemahan diri anda?
8. Bolehkah anda bekerja lebih masa?
SOALAN YANG BOLEH ANDA TANYA
KEPADA PENEMU DUGA
Temu duga sebenarnya bersifat dua hala. Temu duga juga memberikan peluang
kepada anda untuk lebih mengetahui latar belakang syarikat, menilai sama ada
syarikat tersebut stabil atau tidak dan anda juga dapat memastikan apa-apa
yang anda harapkan dari segi gaji dan faedah lainnya adalah sesuai dengan
kehendak anda. Untuk menunjukkan minat anda pada jawatan yang dipohon, anda
boleh mengajukan soalan kepada penemu duga. Antaranya:
1. Sekiranya diterima, apakah tugas saya?
2. Di jabatan mana saya bakal ditempatkan dan kepada siapa saya perlu
melaporkan diri?
3. Adakah latihan disediakan untuk pekerja?
4. Bilakah akan diumumkan keputusan temu duga?
Ke atas