Apakah Yang
Anda Inginkan?
Oleh:
Amin Hazyq
Klinik
Kerjaya Perintis
Sekarang ini
kita banyak mendengar cerita tentang pekerja yang apabila ditanya tentang
pilihan kerjaya mereka, mereka hanya menjawab, "Saya hanya mendapat kerja
ini. Jadi, saya kerjalah dulu. Tu lebih baik daripada tak bekerja langsung!"
Fenomena ini agak menyedihkan. Sekiranya anda tidak melakukan pekerjaan yang
anda minati, anda tidak mungkin berpeluang untuk mengeksploitasikan
kebolehan anda. Hal ini juga merupakan satu 'pembaziran' sumber manusia dan
boleh mengakibatkan rasa kekosongan dan kekecewaan pada diri anda.
Kebanyakan individu akan cenderung untuk memilih pekerjaan yang menawarkan
gaji yang tinggi atau bekerja di syarikat yang lebih stabil sebagai
pengisian untuk jangka masa pendek. Namun, yang membimbangkan ialah kesannya
untuk jangka masa panjang. Bayangkan anda terpaksa melakukan kerja yang
tidak anda suka untuk bertahun-tahun lamanya!
Terdapat dua perkara penting yang harus anda ketahui sebelum anda memilih
sesuatu kerjaya.
1. Anda harus mengenali diri anda sendiri.
2. Anda harus mengetahui peluang yang ada untuk anda di pasaran kerja.
Terdapat 3 aspek yang boleh digunakan untuk mengenali diri anda.
1. Aspek kebolehan - apa yang mampu menyerlahkan kebolehan dan kekuatan diri
anda
2. Aspek personaliti - apa yang sesuai dengan perlakuan dan cara hidup anda
3. Aspek motivasi - apa yang dapat merangsang pemikiran dan minat anda
Jika semua aspek ini digabungkan, gambaran tentang sejauh mana anda akan
berjaya dalam sesuatu bidang dapat diberikan, dengan syarat anda berusaha
dengan gigih dan banyak berdoa kepada Allah. InsyaAllah.
Aspek Kebolehan
Perkara yang perlu dikenal pasti ialah mengenali diri anda yang sebenar.
Anda perlu mengetahui kebolehan anda dan perkara yang dapat dilakukan untuk
menggunakan kebolehan anda secara maksimum. Sekiranya anda melakukan
pekerjaan yang tidak anda minati, kebolehan sebenar anda tidak dapat
digunakan dengan sebaik mungkin. Ini mungkin menghalang majikan anda untuk
mendapat gambaran yang sebenar tentang prestasi kerja anda.
Oleh itu, untuk mengenal pasti kekuatan diri anda, anda harus menjalani
Ujian Kebolehan. Ujian Kebolehan ini bertujuan untuk mengenal pasti
kebolehan yang tidak semestinya lahir daripada pembelajaran dan pengetahuan.
Ujian yang diberi akan menguji tahap anda memahami dan menyelesaikan sesuatu
perkara atau masalah dalam tugasan seharian.
Aspek Personaliti
Fitrah perlakuan manusia ialah kemampuan untuk menyesuaikan diri dalam
apa-apa jua keadaan (fleksibel). Atas alasan inilah kebanyakan orang dapat
melakukan kerja yang tidak disukai oleh mereka bertahun-tahun lamanya.
Majoriti majikan sekarang amat menitikberatkan kesesuaian peribadi pekerja
dengan tugasan yang akan dilakukan. Jika seseorang pekerja itu tidak
berminat akan kerja yang dilakukan, secara tidak langsung, produktiviti
syarikat akan terjejas. Oleh itu, keserasian personaliti seseorang pekerja
dan tugas amat penting.
Untuk mengenal pasti personaliti anda, anda harus menjalani Ujian
Personaliti. Ujian ini akan menganalisa pemikiran, perasaan dan perlakuan
anda. Ujian Personaliti berbeza dengan Ujian Kebolehan kerana dalam ujian
ini, tiada jawapan yang betul atau salah. Apapun jawapan yang anda berikan
adalah datang dari dalam diri anda sendiri.
Sekiranya berminat, anda boleh
menghubungi penulis untuk mendapatkan 'soft copy' Ujian Personaliti ini.
Aspek Motivasi
Sesetengah orang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi dan kemahiran yang
baik tetapi tidak berjaya dalam hidup. Ada juga orang yang tidak mempunyai
kelulusan yang tinggi, tetapi mempunyai kemahiran dan kemahiran itu
digunakan sehingga membawa kejayaan kepada mereka. Kejayaan seseorang itu
banyak ditentukan oleh motivasi. Motivasi dapat membakar semangat seseorang
untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh sehinga berjaya.
Motivasi terdapat dalam beberapa bentuk, seperti kata nasihat daripada orang
yang disayangi atau mentor, faktor material seperti wang ringgit, kepuasan
mental, meraih pujian ataupun sebagai satu cabaran.
Kadang-kadang kita menjadi keliru dengan sumber motivasi yang ada, sama ada
membawa sesuatu yang baik pada diri kita atau tidak. Ujian Motivasi akan
menolong anda menilai motivasi peribadi yang anda miliki dan hal ini
bertujuan untuk mencorakkan kerjaya dan hala tuju anda. Ujian ini dapat
memberikan panduan kepada anda tentang kerjaya yang lebih sesuai untuk anda
ikuti berdasarkan minat anda.
Adakah wujud faktor-faktor yang
tidak dapat diukur?
Jawapannya, ya.
Pertama, ada beberapa jenis pekerjaan yang memerlukan ciri-ciri fizikal yang
mungkin tiada pada diri anda.
Kedua, halangan dari segi kelayakan akademik. Misalnya, jika minat anda
menjurus kepada bidang perubatan, tetapi anda tidak mempunyai kelayakan
akademik untuk menjadi seorang doktor ataupun jururawat, sudah tentu amat
sukar untuk merealisasikan impian anda.
Jadi, ujian-ujian ini hanyalah bertindak sebagai panduan untuk anda mengenal
pasti kebolehan anda untuk disesuaikan dengan kerjaya yang anda minati.
Ke atas